PENYEDIA perkhidmatan tuisyen dalam talian, Iqra Team Solution bersama Gabungan Tutor Malaysia, Ukhuwwah Fillah melancarkan tabung bencana bagi membantu pendidik yang terkesan akibat banjir kilat.
Ketua Eksekutif, Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar berkata inisisatif menggerakkan tabung bencana ini adalah bagi meringankan beban pendidik dan tutor persendirian yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda beberapa negeri di negara ini.
“Hari ini 18 Disember 2021, kita dikejutkan dengan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara, malah beberapa negeri di pantai Barat khususnya di Selangor terjejas teruk. Kami dapat laporan ada rumah tutor dinaiki air hingga ke paras pinggang,” katanya.
“Ini sudah tentu membantutkan usaha dan kehidupan tutor persendirian ini kerana pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada masa perkhidmatan yang dijalankan. Jika banjir berterusan kelas tidak dapat dijalankan dan pendapatan akan berkurangan.
Beliau berkata, kebanyakan tutor bergerak di seluruh negara bergerak secara bersendirian tanpa teman dalam pasukan yang besar.
“Justeru, cikgu mengajak mana-mana individu yang bermurah hati untuk menyalurkan sumbangan seikhlas hati di bawah tabung “BANTUAN BANJIR UKHUWWAH FILLAH” yang dikendalikan cikgu sendiri atas nama Iqra Team Solution,” katanya dalam hantaran di laman Facebook Iqra Education Hub.
“Diharap sumbangan anda dapat meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana ini. Sumbangan boleh disalurkan melalui link https://toyyibpay.com/BANTUAN-BANJIR-UF ,” katanya. – Iqra Team Solution Shah Alam, 18 Disember 2021.