SUDAH tiba masanya prosedur operasi standard (SOP) berhubung komitmen guru mengadakan kelas tambahan ketika musim cuti sekolah diperkenalkan. Ini bagi memastikan pendidik mendapat rehat secukupnya dan tidak dibebani tugas yang boleh memberi tekanan.

Walaupun ada guru secara sukarela mengadakan kelas tambahan pada musim cuti sekolah kerana komited dengan amanah sebagai pendidik, namun mereka juga perlu memikirkan kesannya terhadap kesihatan.

Pemergian guru wanita, Yap Hue Ling, 47, ketika sedang mengajar kelas tambahan di Sibu, Sarawak, baru-baru, seharusnya dijadikan pengajaran betapa pentingnya SOP berkenaan dilaksanakan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika diajukan soalan mengenai kelas tambahan musim cuti sekolah, secara tegas tidak menggalakkan guru berbuat demikian. Katanya, walaupun secara sukarela dan tiada arahan daripada pihak sekolah, musim cuti sekolah sepatutnya digunakan untuk berehat, berkumpul serta riadah bersama keluarga, selain bersosial.

Beliau berkata, dibimbangi mengajar secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan guru kerana mereka terdedah kepada kepenatan untuk jangka masa panjang.

Guna masa cuti untuk berehat

“Saya menghargai jasa Cikgu Hue Ling yang mendidik pelajarnya sehingga ke penghujung nafas terakhir. Namun, pada musim cuti depan, saya cadangkan semua guru gunakanlah masa itu untuk berehat secukupnya,” katanya kepada BH di Balai Berita, baru-baru ini.

Adik ipar guru itu yang juga Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, dilaporkan berkata punca kematian kakak iparnya disebabkan pembuluh darahnya pecah di bahagian otak akibat serangan angin ahmar.

Sebenarnya, saya sendiri amat terkesan dengan pemergian Hue Ling, sahabat baik isteri saya dan mereka pernah mengajar bersama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk, Likas, Kota Kinabalu.

Setiap kali Aidilfitri pasti mereka sekeluarga berkunjung ke kediaman kami di Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, sebelum berpindah ke Sibu, manakala kami berhijrah ke Subang Jaya, Selangor.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa semua pentadbir sekolah tidak mengadakan sebarang program termasuk kelas tambahan atau program akademik sepanjang cuti persekolahan.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, dilaporkan berkata sepanjang waktu persekolahan murid-murid dan guru terbeban dengan kerja sekolah yang banyak sehingga mereka berada dalam keadaan tertekan.

Katanya, NUTP berharap pelajar dan guru dapat memanfaatkan cuti yang ada untuk melakukan aktiviti riadah atau kegiatan menggembirakan mereka supaya tekanan yang ada dapat diredakan seketika, selain memberi kesempatan untuk murid pelbagai kaum merayakan Aidilfitri.

Elak guru terbeban

Tokoh pendidikan negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, turut bersetuju supaya cuti sekolah dimanfaatkan guru untuk berehat bersama keluarga. Ini kerana katanya, rehat yang mencukupi selepas penat mendidik pelajar amat penting untuk memulihkan tenaga dan meredakan tekanan kerja.

“Selain berehat musim cuti sekolah, guru juga perlu sentiasa menjaga kesihatan termasuk pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali,” katanya yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

Mengajar pada musim cuti sekolah juga dibimbangi memberi tekanan kepada guru yang jika berlarutan dalam jangka masa panjang menyebabkan mangsa diserang tekanan darah tinggi, serangan jantung dan kemurungan.

Tekanan yang gagal diurus dengan berkesan pada peringkat awal menyebabkan berlaku perubahan metabolisme dan terdedah kepada pelbagai gejala penyakit boleh membawa maut. Sebab itulah tekanan dianggap sebagai pembunuh senyap kerana mereka yang mengalaminya dalam tempoh yang panjang khususnya bekerja lebih masa boleh rebah secara tiba-tiba.

Kebanyakan tekanan berpunca kerana gagal menangani kemarahan dengan baik sehingga bertindak di luar kawalan serta tidak mustahil bekerja lebih masa boleh menyebabkan guru diserang pelbagai penyakit yang boleh membawa maut.

Justeru, sudah tiba masanya SOP berhubung komitmen mengadakan kelas tambahan atau tuisyen pada musim cuti persekolahan diperkenalkan demi kebaikan guru dan warga sekolah keseluruhannya. – Berita Harian, 11 Jun 2019

Penulis adalah wartawan meja am BH

 

2 thoughts on “Perkenal SOP kelas tambahan cuti sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *