TINDAKAN Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempertahankan kuota matrikulasi untuk Bumiputera tidak bererti beliau seorang yang rasis, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.Perdana Menteri menegaskan, kenyataan Maszlee itu sebenarnya penting untuk Pakatan Harapan (PH) menjelaskan pendirian berhubung isu kaum, terutamanya yang membabitkan orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata, jika pendirian PH tidak dijelaskan, mereka berkemungkinan tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kepada gabungan UMNO dan PAS yang sedang galak menggunakan isu kaum dan agama untuk memenangi hati orang Melayu.

Pengerusi PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, adalah perkara biasa bagi Maszlee yang berbangsa Melayu untuk mempertahankan hak kaumnya, seperti mana ahli politik bangsa lain yang mempertahankan hak kaum masing-masing.

“Dalam parti kita, ramai yang bercakap soal kaum juga. Orang India bercakap kepentingan kaum India, orang Cina cakap pasal kaum Cina, Melayu cakap mengenai Melayu, Kadazan soal kaum Kadazan dan Iban soal kaum Iban. Namun, kita semua rakyat Malaysia.

“Kamu tidak boleh persoalkan kewarganegaraan mereka. Bangsa soal lain, tetapi adalah perlu untuk pastikan kita mendapat sokongan semua orang. Masalahnya adalah untuk memenangi sokongan Bumiputera dan ia amat penting.

“Sekarang, gabungan UMNO dan PAS menggunakan isu kaum dan agama untuk meraih sokongan. Kalau kita tidak jelaskan pendirian kita mengenai kaum, saya rasa kita akan kalah dalam PRU,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.

Ditanya sama ada kedudukan Maszlee dibincangkan dalam mesyuarat parti itu, Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak melihat sebarang masalah untuk menteri berkenaan meneruskan tugas.

“Saya tak nampak apa-apa masalah dengan Maszlee. Cuma dia suruh tukar kasut kepada warna hitam sahaja, yang lain semua OK,” katanya.

Baru-baru ini, Maszlee dilaporkan berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi perlu membangkitkan juga mengenai isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu. – Berita Harian, 28 Mei 2019.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *